Kelebihan Solat Subuh
Diantara waktu-waktu solat dalam sehari, solat subuh merupakan solat yang paling banyak keistimewaan dan yang paling banyak disebut. Solat subuh ialah solat yang paling pertama yang kita lakukan setiap memulai hari. Ia didefinasikan sebagai tempoh waktu antara penghujung gelapnya malam dengan terbitnya matahari sebagaimana sabda Rasulullah SAW dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘As: “Waktu Zuhur ialah bila matahari tergelincir hingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan badannya selama waktu Asar belum tiba. Waktu Asar ialah selama belum menguning sinar matahari, waktu solat Maghrib ialah selama mega merah belum lenyap dan waktu solat isyak ialah sampai tengah malam kedua sedangkan waktu solat subuh mulai sejak terbit fajar sampai matahari terbit. Jika matahari sudah terbit, maka hentikanlah solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan” (Hadis Riwayat Muslim)
Memandangkan pentingnya solat subuh ini dilakukan pada waktunya sebagaimana maksud firman Allah SWT: “Sesungguhnya sembahyang diwajibkan atas orang-orang beriman dengan penetapan yang sudah ditetapkan waktunya”
(An Nisa ayat 103), sedangkan waktu solat ini merangkumi penghujung
waktu tidur, maka hanya pada waktu subuh sahaja akan terdapat dua azan
berkumandang. Azan yang pertama dilaungkan sebelum masuk waktu untuk
memberi peringatan dan pemberitahuan sekaligus membangunkan semangat
orang. Pada bulan Ramadan, laungan ini sangat penting untuk memberitahu
mereka yang akan berpuasa agar memberhentikan makan dan minum. Azan
kedua pula akan berkumandang tidak beberapa lama setelah masuk waktu
subuh. Jaraknya antara azan pertama dan kedua pula menurut Syeikh Albani
RA dalam kitab Tamam al Minnah, “itu kira-kira suku jam.”
Selain itu, lantunan ‘As solatu khairum minan naum’
(solat itu lebih baik dari tidur) yang dibaca dua kali hanya
disyariatkan pada azan Subuh dan tidak terdapat pada waktu-waktu solat
yang lain.
Terdapat banyak kelebihan dalam menunaikan solat
subuh sama ada dari perspektif kesihatan rohani mahupun jasmani. Dari
segi kerohanian antaranya:
1. Waktu solat subuh itu sendiri mempunyai rahsia yang tidak terjangkau. Allah SWT mengagungkan waktu Subuh di dalam firmanNya: “Demi
waktu Fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi
Allah) Dan yang genap dan yang ganjil Dan malam bila berlalu. Pada yang
demikian itu terdapat sumpah (yang dapat diterima) oleh orang-orang yang
berakal.” (Surah Al Fajr: 1-5)
Masih dalam perihal waktu, waktu solat ini ialah waktu yang disaksikan oleh para malaikat sebagaimana disahkan oleh pencipta kita dalam firmanNya: “Dirikanlah sembahyang dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula sembahyang) Subuh. Sesungguhnya sembahyang Subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan bangunlah pada sebahagian waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu. Mudah-mudahan tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Isra’ Ayat 78-79). Rasulullah SAW turut menjelaskan bahawa malaikat penjaga malam akan naik ke langit setelah menyaksikan solat Subuh sebagaimana maksud sabda Rasulullah SAW dari Abu Hurairah RA: “Kemudian naiklah para malaikat yang menyertai kamu pada malam hari, lalu tuhan bertanya kepada mereka (padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka), “Bagaimana hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?” Mereka menjawab, “kami tinggalkan mereka di dalam keadaan solat dan kami tinggalkan mereka di dalam keadaan solat juga.” (Riwayat Bukhari)
2. Perlindungan dan jaminan Allah SWT kepada mereka
yang menunaikan solat Subuh. Diriwayatkan dari Jundab bin Sufyan RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menunaikan solat
subuh maka dia berada dalam jaminan Allah SWT. Maka jangan mencuba Allah
membuktikan janjiNya. Barangsiapa yang membunuh orang yang menunaikan
solat Subuh, Allah akan menuntutnya sehingga dia membenamkan mukanya ke
dalam neraka.” (Riwayat Tarmidzi dan Ibnu Majah). Ini kerana dua
rakaat solat subuh yang dilakukan dengan penuh keikhlasan akan
menguatkan kebenaran dan mengukuhkan keimanan sepertimana janji Allah
SWT di dalam surah Al Hajj ayat 38: “Sesungguhnya Allah membela
orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap
orang yang khianat lagi tidak bersyukur.”
Adapun, mereka yang menunaikan solat Subuh berjamaah
juga akan bercahaya wajahnya pada hari Kiamat. Rasulullah SAW pernah
bersabda: “Berilah berita gembira kepada mereka yang berjalan ke
masjid-masjid dalam kegelapan, bahawa mereka akan mendapat cahaya yang
terang pada hari Kiamat.” (Riwayat At-Tirmidzi)
3. Menunaikan solat Subuh akan memudahkan melihat
wajah Allah yang mulia. Ini merupakan satu nikmat yang telah dijanjikan
di dalam surah Qiyamah ayat 22-23, “Wajah-wajah (orang-orang Mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat.” Imam Bukhari menegaskan lagi firman Allah ini dalam sahihnya dengan sanad dari Jabir bin Abdillah RA ia berkata: “Ketika
kami sedang berada di sisi Nabi SAW, ia memandang kearah bulan purnama
lalu bersabda: “Sesungguhnya kamu nanti akan melihat tuhan kamu
sebagaimana kamu melihat bulan ini atau kamu tidak akan kesusahan untuk
melihatNya. Jika kamu sanggup untuk tidak meninggalkan sembahyang
sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelamnya maka lakukanlah”
kemudian beliau membaca ayat ini: “Dan bertasbihlah dengan memuji
TuhanMu sebelum terbit matahari dan sebelum tenggelamnya”
4. Sembahyang Subuh lebih baik daripada dunia dan isinya sebagaimana sabda nabi SAW, “Sekiranya manusia mengetahui pahala dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak boleh mendapatnya selain dengan diundi tentu mereka akan mengundi. Sekiranya mereka mengetahui pahala at-tahjir, tentu mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya. Dan sekiranya mereka tahu pahala dalam solat Isyak dan Subuh tentu mereka akan mendatangi kedua-duanya walaupun terpaksa merangkak” (Riwayat Bukhari)
5. Menunaikan solat Isyak berjemaah diikuti dengan
solat Subuh berjemaah adalah seperti solat sepanjang malam. Adapun bagi
mereka yang menunaikan solat Subuh berjemaah, pahalanya seakan-akan
berjaga sebahagian malam. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa Solat
Isyak secara berjamaah seolah-olah dia telah berjaga setengah malam dan
sesiapa Solat Subuh secara berjamaah dia telah mendapat pahala berjaga
sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)
Dari sudut sejarah, Rasulullah SAW akan menunggu
sehingga pimpinannya telah siap melaksanakan solat Subuh berjemaah
kerana ia menyatukan, menaikkan semangat dan mempersiapkan jiwa untuk
berperang dijalan Allah SWT. Diantara peperangan yang paling masyhur
yang berlaku disubuh hari ialah peperangan kaum Muslimin ke atas kaum
Yahudi Khaibar yang berakhir dengan kemenangan. Bersabda Nabi SAW: “Hancurlah
Khaibar… sesungguhnya jika kita telah menempati halaman sesuatu kaum,
maka itulah seburuk-buruk pagi hari bagi orang-orang yang diberi
peringatan.” Melalui peristiwa ini jelaslah, generasi yang berjaya
dan yang mampu mencapai kemenangan dengan izin Allah SWT adalah generasi
yang giat memakmurkan masjid ketika sembahyang Subuh.
Sesungguhnya tidak rugi bagi kita untuk bangun awal
setiap pagi bukan sahaja untuk menyahut seruan rohani dan perintah Allah
SWT, bahkan, untuk keseimbangan jasmani juga antaranya:
1. Tingginya gas ozon di pagi hari membantu
memulihkan perasaan gugup, mengaktifkan mental dan otot-otot,
membersihkan paru-paru dan membantu peredaran darah sehingga menjadikan
tubuh menjadi lebih bertenaga dan cergas.
2. Sinar matahari pagi memberikan vitamin D iaitu
vitamin yang amat diperlukan untuk kesihatan kulit selagi mana tidak
keterlaluan.
3. Permulaan yang baik siap dengan pengharapan yang
ditawakkalkan kepada Allah SWT akan meniupkan semangat yang luar biasa
kepada motivasi diri, memberi ketenangan dan melapangkan dada sehingga
apa yang dilakukan mendatangkan daya hasil yang tinggi.
Demikianlah istimewanya solat wajib dipagi hari ini.
Selain pembuka tirai hari yang baik, ia hanyalah 2 rakaat tetapi
menjanjikan kelebihan yang sangat besar kepada yang ikhlas menjalankan
perintah Allah SWT setiap hari. Marilah kita galakkan diri untuk selalu
bangun awal dengan merenung cara-cara yang boleh kita santuni:
1. Tidur awal selaras motivasi dari firman Allah SWT di dalam surah Ghafir ayat 61: “Allah
yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya dan
menjadikan siang terang benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya
Allah sentiasa melimpah limpah kuniaNya kepada manusia seluruhnya, akan
tetapi kebanyakkan manusia tidak bersyukur.”
2. Berwuduk sebelum tidur untuk memudahkan bangun
apabila azan Subuh berkumandang dan berdoa. Diriwayatkan dari al-Barra’
bin Azib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu hendak
berbaring maka berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat
kemudian berbaringlah sebelah kanan, lalu ucapkan: “Ya Allah aku
serahkan wajahku padaMu, aku serahkan urusanku kepadaMu dan aku
sandarkan belakangku padaMu dengan cara suka atau takut. Tidak ada
tempat kembali dan perlindungan kecuali kepadaMu. Ya Allah aku beriman
kepada kitabMu yang Engkau turunkan kepada NabiMu yang telah Engkau
utuskan.” “kalau kamu meninggal malam itu, maka kamu meninggal dalam
keadaan suci. Dan jadikanlah doa tadi sebagai ucapan terakhir yang enkau
ucapkan” (Riwayat Bukhari)
Begitu juga membaca ayat kursi sebelum tidur amatlah digalakkan sebagaimana maksud hadis: “(Dengan ayat kursi tersebut) Allah akan menjagamu dan syaitan tidak akan menghampirimu sampai Subuh.”
3. Jangan tidur dalam keadaan yang terlalu kenyang. Makan berlebihan bahkan tidak dianjurkan pada bila-bila masa namun lebih ditegah sebelum tidur kerana akan melambatkan tidur, mengakibatkan kegelisahan saat tidur dan tidur akan sering terganggu dengan rasa ingin ke tandas. Kesannya badan menjadi penat dan akhirnya susah untuk bangun solat Subuh.
Dengan panduan-panduan untuk bangun Subuh dan
kelebihan-kelebihan seperti yang dijelaskan lengkap dengan dalil-dalil
kukuh, marilah kita ubah cara hidup kita bagi yang sering terlepas
Subuh. Bagi yang tidak putus mendapat fadilat Subuh, teruskanlah dan
semoga setiap hari menjadi lebih baik lagi. Sebagai Muslim, wajarlah
kita berlumba-lumba untuk tergolong di kalangan mereka yang meraih
kelebihan-kelebihan di atas ini.
Akhir kalam, marilah kita renungi kalam Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin malik RA: “Barangsiapa
yang menunaikan solat Subuh berjemaah kemudian duduk berzikir kepada
Allah sehingga terbit matahari kemudian solat dua rakaat maka baginya
pahala seperti haji dan umrah yang ditunaikan dengan sempurna, dengan
sempurna, dengan sempurna!”
|
Rabu, 12 Maret 2014
Manfaat dan definisi Solat Subuh
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar